Laluan Terdekat Dari Roban Ke Asajaya Sarawak

Jambatan Batang Sadong

Lama sudah ingin menyambung entri balik kampung yang lepas. Sebagai sambungannya saya kongsikan perjalanan terdekat dari Roban ke Kampung Moyan Laut Asajaya.

Selain itu, jalan ini anda  boleh juga guna untuk terus ke Kota Samarahan dan Kuching. Terdapat tiga pilihan jalan utama yang boleh digunakan.

  1. Jalan pesisir laut (menggunakan feri) – 184 km
  2. Jalan Simunjan – 307 km
  3. Jalan Serian – 315 km

Beberapa aspek diambil kira semasa membuat keputusan jalan yang akan dilalui. Di antaranya adalah;

  • Jarak perjalanan.
  • Permukaan jalan yang rosak/tidak rata.
  • Kedudukan stesen minyak dan bengkel kenderaan.
  • Halangan perjalanan melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.
  • Halangan perjalanan/masa semasa menunggu giliran menaiki feri.

Kenapa Tidak Memilih Jalan Pesisir Laut?

Tidak dinafikan perjalanan menaiki feri melalui jalan pesisir laut jaraknya lebih dekat namun perlu melalui dua feri iaitu Feri Batang Lupar dan Feri Pusa. Ini bermakna kemungkinan masa menunggu giliran memasuki feri akan lama memandangkan banyak kenderaan faktor musim perayaan.

Jika menggunakan jalan ini, perlu melalui Jalan Sri Aman Sarikei dan masuk ke Jalan Pusa. Beberapa pekan akan dilalui seperti Pekan Sebangan, Pekan Sebuyau, Pekan Beladin, Pekan Maludam dan Pekan Pusa.

Selain terus ke Jalan Sri Aman –  Sarikei, boleh juga menggunakan Jalan Batang Saribas – Krian, namun perlu melalui satu lagi feri.

Selain masa menunggu yang agak lama, faktor jalan sediaada juga diambil kira. Jalan yang tidak rata (beralun) melalui kawasan perladangan sawit menyebabkan saya dan isteri menolak untuk menunggunakan jalan ini. Keselesaan anak-anak juga perlu diutamakan.

Walaupun dekat jaraknya, hampir setengah perjalanan menggunakan dua pilihan jalan yang lain, namun ianya bukanlah pilihan kami selepas mengambil kira faktor di atas.

Antara Dua Jalan Yang Dipilih.

Kini tinggal dua sahaja pilihan jalan yang ada. Perjalanan ini akan melalui Pekan Betong dan Sri Aman.

Jalan Serian.

Jalan ini adalah jalan yang biasa kami lalui untuk balik kampung. Selepas melalui Bandar Serian, kami akan menggunakan Jalan Pekan Baki dan terus menuju ke Asajaya.

  • Pro –  Banyak bengkel, stesen minyak.
  • Kontra – Jalan sesak

Jalan Simunjan.

Namun jika membuat pilihan melalui jalan Pekan Simunjan, kami tidak perlu melalui Pekan Serian yang nyata akan sesak kerana faktor musim perayaan dan jaraknya juga lebih dekat.

Selain itu, Jambatan Batang Sadong yang baru siap juga memberi kelebihan mendekatkan jarak dan masa perjalanan. Jambatan ini berukuran panjang 1,480 meter dan dibuka secara rasmi pada 16 Oktober 2016.

  • Pro – Jarak lebih dekat, tidak sesak.
  • Kontra – Jalan yang tidak rata, sunyi terutama waktu malam, stesen minyak kurang.

Akhirnya kami memilih Jalan Simunjan kerana kami pun tidak pernah melalui jalan ini. Kenapa tidak kalau tidak mencuba untuk balik kali ini?

Selepas melalui Jalan Simunjan ini, diringkaskan perjalanan lebih lancar kerana kereta amat kurang melalui jalan ini. Selain melalui Pekan Simunjan, kami juga melalui Jambatan Batang Sadong yang kali pertama kami lalui.

Seronok sangat bila selamat sampai ke destinasi.

Jarak perjalanan dari Tuaran, Sabah ke Kg. Moyan Laut, Asajaya Sarawak adalah 1275km (termasuk 5km sesat di Miri).

About Encik Mus

Nama saya Encik Mus sebagai penulis blog ini. Penulisan dalam blog ini adalah pandangan peribadi saya dan tidak dibenarkan menerbitkan semula kandungan blog ini di media yang lain tanpa kebenaran saya. Sebarang pertanyaan boleh anda buat melalui halaman “Hubungi Saya”. Terima kasih.

View all posts by Encik Mus →

6 Comments on “Laluan Terdekat Dari Roban Ke Asajaya Sarawak”

  1. Memang mencabar kalau nak balik kampung ketika musim perayaan. Saya terkena raya haji baru ni. Biasa balik 3-4 jam, tapi kali ini lebihd ari 9 jam.. Fuhh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *