Categories
Santai

Tusan Cliff, Batu ‘Kepala Kuda’ Di Miri, Sarawak

Tusan Cliff sudah berapa kali dalam perancangan untuk dilawati akhirnya kami sampai juga ke sana. Kisah ini sudah berlalu beberapa bulan yang lepas semasa perjalanan balik semula selepas beraya dari Kuching Sarawak. Lama juga artikel ini disiapkan namun sering kali tergendala kerana tugasan harian yang cukup banyak. Terleka dengan kerja hakiki sehingga blog ini hampir dilupakan.

Lokasi Tusan Cliff

Lokasinya terletak di Pantai Tusan, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bekenu kira-kira 40km perjalanan dari Bandaraya Miri, Sarawak. Perjalanan ke sana melalui Jalan Samalaju Miri – Bintulu.

Oleh kerana lokasinya agak jauh dari bandar Miri, detinasi ini tidak sepopular Tanjong Lobang dan Luak Esplanade dan beberapa destinasi menarik yang lain di Miri namun ia semakin dikenali ramai.

Kepala Kuda & Fenomena  ‘Blue Tear”

Tusan Cliff juga dikenali dengan batu ‘Kepala Kuda’ kerana gerbang yang terbentuk seakan-akan kepala seekor kuda yang sedang menunduk minum di laut.

Tusan Cliff, Miri, Sarawak (12)

Pantai ini semakin popular sejak  fenomena “blue tears” iaitu laut seaakan ada lampu berwarna biru tular di media sosial beberapa kali sebelum ini.

The “blue tears” phenomenon, also called “bio-luminescence” that occurs when micro-organisms in the water are interrupted by oxygen to produce a bright blue light on the beach. – freemalaysiatoday.com

Blue Tear at Tusan Cliff
Blue Tear – Image via raudhatuljannah9597

Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Ke Tusan Cliff?

Persoalan ini perlu anda ketahui jawapannya.

Simpang ke Pantai Tusan – simpang masuk yang berada di selekoh  boleh menyebabkan anda terlepas simpang. Anda perlu masuk ke simpang dan melalui ladang kelapa sawit sebelum sampai ke Pantai Tusan.

**PALING PENTING** Jadual air pasang-surut – Jika anda berhajat hendak bergambar di gerbang Tusan Cliff, ianya boleh dibuat semasa air surut sahaja. Jika air pasang, lupakan hajat anda kerana anda tidak dapat ke sana.

Keadaan Cuaca – Tiada tempat berlindung sekiranya anda berjalan kaki ke gerbang Tusan Cliff dan ianya memakan masa lebih kurang 15 minit. Cuaca panas/hujan sudah pasti membuatkan anda tidak selesa. Jika angin kuat, elakkan memasang payung. Sudah pasti payung anda akan rosak.

Tebing Tinggi – Jika anda ke sana bersama anak-anak kecil, pastikan keselamatan mereka sentiada dalam perhatian anda. Tebing tinggi perlu dituruni untuk sampai ke gerbang Tusan Cliff. Batuan yang licin perlu anda perhatian dalam setiap langkah samaada naik atau turun supaya anda tidak terjatuh dari tebing.

Tusan Cliff, Miri, Sarawak (1)
Kelengkapan Kamera – Jangan lupa bawa kamera atau telefon bimbit anda untuk merakam kenangan anda di gerbang Tusan Cliff. Jika terlupa, jaraknya agak jauh dari tempat parkir kenderaan dan agak memenatkan jika anda balik semula mengambil kamera yang tertinggal.

Apa yang anda boleh buat di Pantai Tusan?

Ambil Gambar – Memandangkan anda sudah berada di sini, jangan lupa ambil gambar berlatar belakangkan gerbang Tusan Cliff yang popular. Ianya pasti menjadi kenangan yang indah ketika anda berada di Sarawak, khususnya Miri.

Tusan Cliff, Miri, Sarawak (14)

Makan dan Minum – Ais krim dalam buah kelapa amat popular di sini. Anda kena mencubanya sendiri. Namun saya lebih suka meminum air kelapa sahaja untuk menghilangkan dahaga selepas penat berjalan kaki jauh menuju ke gerbang Tusan Cliff.

Tusan Cliff, Miri, Sarawak (7)

Vandalisma Yang Menyakitkan Mata

Tusan Cliff, Miri, Sarawak (16)

Cuba anda perhatikan gambar di atas, contengan pada dinding gerbang mencacatkan pemandangan cantik di sini. Semoga semua yang datang ke sini menjaga kebersihan dan elakkan melakukan vandalisma.

Album Gambar (Slide)

Tusan Cliff, Miri

Video Tusan Cliff (via Youtube)

 

p/s: Sila share jika bermanfaat.

Categories
Santai

Mee Bihun Laksa Sarawak Keluaran Lee Fah

Mee Bihun Laksa Sarawak adalah makanan paling popular tempatan Sarawak yang dikenali di seluruh dunia. Namun Laksa Sarawak sudah banyak diperbagaikan variasi resipinya. Bagi saya, resipi asalnya adalah yang terbaik. Penyediaannya juga ringkas dan cepat serta mudah dimakan sesiapa sahaja.

Bagi anak jati Sarawak yang tinggal di perantauan, jika ada balik ke kampung halaman sudah pasti beberapa barangan lokal akan dibawa bersama kembali ke perantauan. Antara yang popular dan sering dikirim sebagai ole-oleh adalah seperti Kuih Lapis Sarawak, Ikan Terubuk Masin, Pes Laksa Sarawak, Gambir Sarawak dan beberapa barangan lain termasuk pakaian tradisonal, kraftangan dan perhiasan wanita.

Jika ada yang terlupa membelinya boleh juga membeli secara dalam talian seperti Lazada, Shopee dan sebagainya.

Pada hujung minggu lepas, saya dan keluarga jalan-jalan di 1Borneo Hypermall. Semasa berada di Pasaraya Giants mata saya tertarik dengan bungkusan mee berwarna merah dan biru. Sekali diamati, ianya adalah Mee Bihun Laksa Sarawak keluaran syarikat paling popular di Sarawak iaitu Lee Fah.

Mee Bihun Laksa Sarawak
Mee Bihun Laksa Sarawak

Syarikat Lee Fah, Sarawak.

Bagi anak Sarawak, siapa yang tidak kenal Lee Fah. Baik anda malu! Banyak produk makanan berasaskan mee dikeluarkan oleh syarikat ini.

Mee Bihun Laksa Sarawak
Produk popular keluaran Lee Fah.

Saya membeli dua bungkus mee laksa tersebut dan isteri sekadar untuk mencuba sahaja. Sampai sahaja di rumah, isteri terus memasak sebungkus mee laksa dan dihidangkan tanpa menu tambahannya.

Kami jarang makan mee segera. Ternyata, sebungkus mee itu hampir tidak dapat dihabiskan oleh kami berdua. Nasib baik ada anak-anak yang mahu makan mee ini.

Pada pendapat saya, rasa Laksa Sarawaknya memang ada dan cukup menyelerakan.  Namun, jika anda mahukan ‘aksesori’ menu yang lengkap seperti taugeh, isi dada ayam, telur dadar dihiris halus dan sebagainya anda perlu tambah sendiri. Jika mahukan rasa berlemak lebih, anda juga boleh tambahkan santan.

Sebagai kesimpulannya, kami sekeluarga sukakan mee ini dan ianya mudah disediakan. Saya sendiri tidak sempat mengambil gambar semasa mee dihidangkan. Lapar..

Categories
Santai

Papar Riverfront, Tarikan Baru Pelancong Di Pekan Papar

Beberapa hari sebelum cuti sekolah berakhir minggu lepas, kami sekeluarga sempat berkunjung ke Papar Riverfront.

Memandangkan kami tiada kesempatan balik ke kampung sempena cuti sekolah tersebut, kami sekeluarga cuma cuti-cuti di Sabah sahaja. Cukup sekadar bawa anak-anak jalan-jalan sahaja. Mereka mengerti dengan keadaan semasa.

Oh ya! Projek pembinaan Papar Riverfront ini telah siap dan dibuka kepada orang awam. Pembukaannya pun saya terdengar melalui slot berita televisyen di Berita Jam 5 Dari Sabah, TV1.

Lokasi Papar Riverfront

Papar Riverfront, Sabah (2)

Memandangkan ianya baru lagi dibuka, sudah pasti ramai yang tidak mengetahui kedudukannya. Namun bagi yang selalu melalui jalan Pekan Papar sudah pasti anda akan perasan binaan di tebingan sungai semasa melalui Jambatan Papar.

Jaraknya dari Bandar Kota Kinabalu lebih kurang 38km dengan anggaran masa perjalanan selama 30 minit (bergantung kepada keadaan lalu lintas trafik).

Kedudukannya terletak di tepi sungai belakang stesen minyak Shell Pekan Papar dan di seberangnya adalah Kampung Buang Sayang, Papar.

Pandangan Peribadi Saya

Saya mengunjungi Papar Riverfront ini kali pertama. Binaan ini memberi nafas baru kepada Pekan Papar yang agak suram dari segi tarikan pelancongannya.

Dengan lokasi yang terletak di tebingan sungai, kawasan parkir kenderaan turut disediakan. Ada kemungkinan ruangan ini tidak mencukupi terutama pada musim cuti sekolah kerana kunjungan yang ramai dari pelancong.

Selain itu, persekitarannya menarik terutama ketika senja dan kita dapat melihat pemandangan yang indah sekali.

Papar Riverfront, Sabah (9)

Sesekali keretapi akan melintasi tebingan ini dan anak-anak teruja melihat deretan keretapi tersebut. Maklumlah, agak jarang anak-anak melihat keretapi di sini.

Papar Riverfront, Sabah (6)

Kiosk dan gerai yang menjual makanan dan minuman turut dibuka di sepanjang tebingan ini. Selepas penat berjalan, bolehlah berehat seketika. Menu yang dijual tidak kurang enaknya.

Papar Riverfront, Sabah (7)

Tandas awam yang bersih turut disediakan. Semoga dapat dikekalkan kebersihannya dan diselia dengan baik.

Waktu Operasi

Waktu operasi Papar Riverfront adalah dari pukul 8.00 pagi sehingga 11.00 malam. Tiada bayaran masuk dikenakan.

Orang awam dinasihatkan mengikuti segala peraturan dan menggunakan kemudahan yang disediakan dengan baik.

p/s: Tolong share info ini ya!!

Categories
Keluarga Santai

Mengidam Membuat Kuih Pulut Panggang

Ibu mengandung memang tidak dapat dipisahkan dengan mengidam. Itulah hakikatnya. Pernah juga saya sendiri seakan-akan mengidam, nak makan macam-macam, padahal isteri yang mengandung. Isteri pula yang ‘kepelikan’ melihat insiden ini.

Semalam semasa balik dari kerja, saya melihat kelibat isteri mengelap daun pisang. Saya pun agak hairan juga, daun pisang itu saya beli minggu lepas untuk membakar ikan sardin yang dibeli di Tamu Ahad Pekan Tuaran.

Kakak yang menjual daun pisang pula tidak mahu daun pisang dibeli sedikit dan kena beli yang sudah dibungkus/gulung seikat berharga RM2. Orang dah jual begitu, kenalah beli juga.

Daun pisang yang banyak lebih itulah mendatangkan ‘mengidam’ kepada isteri.  Dia berkata hendak membuat kuih pulut panggang. Sayang katanya banyak daun pisang yang lebih dan membazir kalau dibuang.

Kebetulan pula, ada beras pulut dalam laci di dapur.

Saya fikirkan dia mengidam mahu makan, tapi dia mengidam nak membuat kuih pulut panggang pula. Hairan saya..

Saya pun menolong dia menyemat pencukil gigi untuk menahan hujung daun pisang. Kalau di kampung, sebelum membuat kuih begini, biasanya akan mengambil daun kelapa untuk dibuat lidi. Penjual kuih sekarang pula, ramai yang menggunakan ‘stapler’untuk menggantikan lidi.

Gambar Resipi Pulut Panggang Sedap 2
Pulut panggang dijamin sedap.

Alhamdulillah, memang sedap kuih pulut panggang air tangan isteri. Anak-anak pun suka.

Untung kerana sendiri yang membuat, saiznya pula boleh dibuat semahu hati. Buat besar, makan dua biji pun dah kenyang.

Kandungan isteri sudah masuk bulan ke-6. Memang saat-saat begini tempoh membuat persediaan untuk menerima ahli baru dalam keluarga.

 Semoga semuanya dilindungi dan dipermudahkan Allah swt.

Categories
Kerja Santai

Singgah Di Dusun Buah-Buahan Di Kg. Tambulaong, Tamparuli

Selasa lepas saya ke Kampung Tambulaong yang terletak di Daerah Tuaran. Tujuan ke sana adalah atas urusan kerja iaitu membuat siasatan permohonan projek paip graviti untuk penduduk kampung. Atas jemputan tuan JKKK Kg. Tambuloang Tuan Kungin Lout, saya dan rakan sekerja singgah di dusun buah-buahan miliknya.

Memandangkan sekarang musim buah-buahan hampir di setiap daerah di Sabah, daerah Tuaran tidak terkecuali khususnya di Kampung Tambulaong ini. Mengikut pandangan mata kasar saya, kawasan perkampungan ini sangat subur kerana banyak  pokok buah-buahan ditanam dan berbuah dengan banyak.

Pokok rambutan antara pokok yang banyak dengan buahnya berwarna merah dan kuning masak ranum. Selain itu, terdapat buah manggis, tarap, durian dan beberapa buah-buahan lain.

Saya suka makan buah rambutan di sana. Buah rambutannya ada dua jenis iaitu rambutan kelapa berwarna merah dan kuning dan rambutan tanpa biji bewarna merah. Rambutan tanpa biji rasanya sedikit masam.

Nasib kurang baik kerana musim durian di kampung ini menghampiri penghujungnya. Jadi, tak merasalah buah durian di sini.

Menurut tuan Pengerusi JKKK, buah-buahan dari dusun miliknya dipajak kepada saudaranya yang menjual di gerai buah-buahan Tamu Pekan Telipok.

Terima kasih kepada tuan Pengerusi JKKK kerana saya sendiri sudah lama tidak ke dusun seperti ini. Terimbau kembali kenangan dahulu kala semasa masih kecil. Seronok bersama sepupu ke dusun memetik buah-buahan.

Categories
Santai

Memetik Sendiri Buah Longan Kristal Yang Popular Di Sarawak

Bercuti di kampung adalah saat yang amat dinanti-nantikan. Bukan sahaja anak-anak yang tak sabar bercuti, saya sendiri pun sama tidak sabar menghirup udara di kampung halaman sendiri.

Saya bertuah kerana cuti raya tahun ini saya dapat habiskan masa dengan keluarga sepenuhnya. Pelbagai aktiviti dapat saya lakukan dan saya sangat seronok.

Semasa berada di rumah mertua di Rumah Panjang Barit Sebubu, Roban kami sekeluarga pergi ke dusun, ladang itik, memungut buah sawit, projek kolam ikan dan pelbagai lagi.

Kali ini saya ingin berkongsikan kisah mengenai buah longan. Buah yang ada terdapat di dusun keluarga mertua saya.

Longan Kristal

Buah Longan Kristal
Buah Longan Kristal yang masih bertangkai

Buah longan ini menurut mertua saya berasal dari Papua New Guine. Namun pada Sarawak ianya mempunyai pelbagai nama seperti Longan Papuan, Longan Kristal, Longan Fiji, Longan Brazil dan macam-macam lagi. Namun nama Longan Kristal antara yang paling popular.

Terdapat 3 jenis warna longan yang pernah saya temui iaitu  Merah Hitam, Hijau dan Kuning. Antara ketiga-tiga jenis ini, jenis Merah Hitam menghasilkan buah yang paling besar, manakala jenis Kuning menghasilkan buah paling manis.

Buah Longan Kristal
Longan warna hijau dan isi yang manis.

Longan Kristal yang terdapat di dusun kami berwarna hijau. Walaupun hijau namun rasanya sangat manis.

Tamanan longan ini masih baru lagi dan agak sukar untuk menjumpai buahnya di pasar-pasar. Jika dilihat di pasaran, buah Longan kristal boleh mencecah harga RM10 sekilogram atau lebih mahal.

Pokok longan biasanya mengeluarkan buah di hujung-hujung dahan. Pokok yang sudah tinggi tiada cara lain dengan memanjat sahaja untuk mendapatkan buahnya. Saya menunjukkan kemahiran memanjat pokok kepada isteri dan anak-anak. Isteri terkejut dengan ‘bakat luar biasa’ saya. Orang kampung kalau sekadar pokok seperti ini adalah perkara biasa. Cuma pokok pinang saja saya ‘angkat bendera putih’.

Buah Longan Kristal
Mikail tak pakai baju..
Buah Longan Kristal
Seronok dapat kutip buah longan.
Buah Longan Kristal
Misi mencari buah longan.

Anak-anak seronok mengutip buah-buah yang saya petik. Mereka berlari ke sana ke mari berebut mengutip buah. Keadaan dusun yang tidak bersemak memang menjadi ‘padang’ mereka berlari.

Rujukan: Pometia Pinnata

Categories
Santai

Sekali-Sekali Makan Laksa Sarawak Memang Sedap

Laksa Sarawak Homemade

Alhamdulillah..

Kali terakhir makan Laksa Sarawak semasa berjualan di bazaar Ramadhan yang lepas. Saya memang lebih suka jika Laksa Sarawak ini dimasak sendiri oleh isteri.

Semalam semasa balik menjemput Amyra dari sekolah, kami singgah di pasar Pekan Tuaran untuk membeli segala ramuan membuat Laksa Sarawak.

Bila dah buat sendiri/homemade.. memang seronoklah nak bubuh mana yang lebih. Saya suka lebihkan udang dan isi ayam. Anak-anak pula ada yang sukakan udang dan hirisan telur goreng sahaja.

Ramuan resipi Laksa Sarawak semalam kekurangan satu bahan iaitu taugeh. Mungkin sudah lewat petang dan stok pula sudah habis.